APM tangkap ular tedung, anak ular tedung selar di Miri
MIRI: Sebuah keluarga dikejutkan dengan kehadiran seekor ular tedung ketika berkumpul di halaman rumah di Lorong 2, Jalan Limbang, Taman Tunku di sini sekitar jam 7.16 malam kelmarin.
Bimbang atas faktor keselamatan, pengadu terus menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk meminta bantuan menangkap ular itu.
Jurucakap Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah (APM) Miri berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, empat anggota dikerahkan ke lokasi untuk menangkap reptilia itu.
Sebaik tiba di lokasi, anggota APM berjumpa dengan pengadu lelaki dewasa berumur 45 tahun bagi mengetahui lokasi sebenar reptilia itu ditemui.
Tinjauan pasukan itu kemudian mendapati ular jenis tedung selar dianggarkan sepanjang dua kaki masih berada di lokasi.
Ular tedung itu kemudian ditangkap menggunakan peralatan khas dan dilepaskan di hutan Lambir.
Dalam satu lagi kejadian berasingan, pasukan APM Miri turut menangkap anak seekor ular tedung selar di Taman Tang Lim, Jalan Grand Park di sini.
Pasukan itu menerima panggilan jam 6.55 petang kelmarin daripada seorang pengadu lelaki menemui ular terbabit menjalar di kaki pintu rumahnya.
Anak ular tedung itu kemudian berjaya ditangkap dengan peralatan khas.
Operasi ditamatkan sekitar jam 7.21 malam.
Tempatan
ms-my
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281809993534830
Borneo Post
