Utusan Borneo

Serangan seksual: Hukuman sebat dikurangkan kepada enam sebatan

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini semalam mengurangkan sebatan yang dikenakan ke atas seorang lelaki yang disabitkan kesalahan melakukan serangan seksual terhadap anak tirinya berusia 12 tahun pada 2021 dan tahun ini, daripada 10 sebatan kepada enam sebatan.

Hakim Dr Alwi Abdul Wahab yang meluluskan keputusan tersebut bagaimanapun mengekalkan hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan ke atas lelaki berusia 40 tahun itu.

Sebelum ini, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan pada 8 Mac 2023, oleh Mahkamah Sesyen Sri Aman bagi dua pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap KanakKanak 2017 yang dibaca bersama dengan Seksyen 16 akta yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan manakala bagi pertuduhan kedua, dia dihukum penjara 12 tahun dan lima sebatan.

Mahkamah sebelum ini memerintahkan tertuduh menjalani hukuman serentak dengan memerintahkan dia menjalani pengawasan selama dua tahun dan menghadiri kaunseling pemulihan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah kedai yang disewa di Sri Aman pada 2021 dan sekitar Januari tahun ini.

Difahamkan, pada 2021, ketika mangsa masih berusia 11 tahun, tertuduh meramas payudaranya dan menggosok bahagian sulitnya pada dubur mangsa.

Keadaan itu berterusan sehingga mangsa berusia 12 tahun di mana sekitar Januari 2023, tertuduh meramas dan menghisap payudara mangsa, menggosok bahagian sulitnya pada dubur mangsa serta menjilat kemaluan mangsa.

Difahamkan juga, kejadian berlaku ketika ibu mangsa bekerja.

Laporan polis kemudiannya dibuat oleh ibu mangsa selepas adik tiri mangsa memaklumkan kejadian itu yang membawa kepada penahanan tertuduh.

Pendakwaan kes oleh Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang dilantik Joshua Baru dan Oliver Kho.

Tempatan

ms-my

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281818583469422

Borneo Post