Utusan Borneo

Lelaki mengaku guna dadah didenda RM1,800

MIRI: Seorang lelaki didenda RM1,800 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis dalam tempoh dua tahun.

Mc Bryan Reinold, 28, dari Jalan Miri-Bintulu didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai seperti ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234) dengan memasukkan dadah ke dalam tubuh sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 5.35 petang, pada 7 Mac lalu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.

Di hadapan mahkamah, tertuduh yang bekerja sendiri merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.

Tambahan dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak dalam tanggungan.

Pendakwaan dilakukan ASP Koay Kok Ping di hadapan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi.

Tempatan

ms-my

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281831468371310

Borneo Post