Utusan Borneo

Lelaki didakwa atas kesalahan bermain judi di tempat awam

MIRI: Seorang lelaki didenda RM900 atau dua minggu penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan bermain judi di tempat awam.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi setelah Albert Laing, 32, dari Long Palai, Hulu Baram mengaku bersalah atas tuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, sekitar jam 11.50 pagi, pada 30 September lalu sepasukan polis diketuai Inspektor Nicon Malang pergi ke sebuah kedai makan di Pujut Corner di sini dan mengesan aktiviti penjualan tambah nilai judi dalam talian.

Setiba di kedai makan itu, mereka menangkap seorang lelaki sedang duduk di premis terbabit dan dipercayai menjalankan aktiviti penjualan tambah nilai judi dalam talian.

Semasa tangkapan dilakukan, polis turut merampas satu unit telefon bimbit, wang tunai RM116, sebuah alat pencetak mudah alih dan sekeping resit tertera angka-angka dipercayai transaksi judi dalam talian untuk dijadikan barang kes.

Hasil siasatan lanjut polis, tertuduh mengaku sebagai ejen tambah nilai judi dalam talian dan semasa ditangkap tertuduh juga mengaku bermain judi dalam talian di telefon bimbitnya sambil menunggu pelanggan.

Manakala laporan pakar judi juga positif dan mendapati wujud elemen perjudian dalam talian dalam barang kes yang dirampas.

Pendakwaan kes dikendalikan pegawai pendakwa ASP Koay Kok Ping manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Tempatan

ms-my

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281835763338606

Borneo Post