Utusan Borneo

Sukarnya miliki rumah terbeban kos sara hidup tinggi

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud

HIDUP sukar yang dibebani dengan kos sara hidup tinggi tidak memungkinkan sesebuah keluarga itu untuk mampu memiliki sebuah rumah sebagai tempat berteduh dari panas dan hujan serta untuk menjalani kehidupan seharian lebih sejahtera apabila menilai harga tinggi rumah pada hari ini.

Mungkin keadaan itu tidak berlaku ke atas semua orang terutama golongan berkemampuan, sebaliknya cerita beban dan permasalahan ini sudah tentunya hanya sebati ke atas golongan berpendapatan rendah dan sederhana lebih-lebih lagi golongan miskin.

Dengan keadaan nilai ringgit serta semua serba serbinya mahal pada masa kini sukar untuk melihat cahaya di hujung terowong yang akhirnya semua orang pasrah dengan keadaan semasa menghadapi himpitan hidup sehingga terpaksa menyewa rumah.

Dengan menyewa sekali pun, harga sewanya pula mahal melampau bahkan melihat kepada harga rumah sekarang, keinginan untuk memiliki rumah sendiri mungkin hasrat tersebut terpaksa dilupakan.

Keadaannya kini jauh berbeza berbanding ketika zaman dulu-dulu, meski upah pekerja lebih rendah tetapi mereka mampu membina rumah sendiri sama ada secara ala kadar ataupun membina rumah yang elok.

Bahan binaan, upah pekerja dan sebagainya agak murah pada masa itu berbanding zaman sekarang.

Situasi sekarang untuk membina rumah kampung mungkin juga tidak mampu dilakukan lebih-lebih lagi untuk membina atau membeli rumah di bandar-bandar besar bagi segelintir orang.

Apabila bercakap mengenai pemilikan rumah, penulis cuba mengupasnya secara lebih mendalam isu itu dengan menemui beberapa pihak terutama penduduk setempat khususnya di bandar Bintulu berkenaan permasalahan mereka hadapi dan kesukaran mendapatkan pinjaman bank bagi membeli rumah serta pelbagai permasalahan lainnya.

Kesukaran untuk memiliki rumah dirasai oleh anak-anak muda yang berjuang untuk meneruskan kehidupan dengan situasi ekonomi dan kos sara hidup tinggi terutamanya di kawasan bandar.

Pekerja di institusi kerajaan, Nur Haidir Razali, 33, berkata, harga rumah di Bintulu terlampau tinggi dari tempat lain sehingga golongan muda tidak dapat membeli, malah hanya mampu menyewa bilik yang rata-rata harga sewa mencecah RM700 sebulan.

“Kerajaan perlu memantau isu ini dan meletakkan satu garis panduan dalam penjualan rumah kos rendah agar tidak dimonopoli oleh golongan selain daripada B40.

“Saya kini cuba memohon skim pembangunan perumahan Jepak Jaya di Jepak,” katanya.

SKIM BANTUAN

Ditanya mengenai skim bantuan disedia kerajaan Sarawak, Nur Haidir berkata: “Kita tidak tahu mengenai kemudahan skim yang disediakan, anak-anak milenia yang sering melayari media sosial pun tidak tahu mengenai skim itu.”

Ini memperlihatkan ada yang terlepas pandang berkenaan maklumat tersebut dan skim-skim bantuan yang disediakan oleh kerajaan Sarawak.

Pada masa sama seorang pekerja swasta yang menerima Skim Bantuan Sewa Rumah Sarawak (SRAS), Hussin Hassan, 47, berkata skim yang disediakan kerajaan Sarawak untuk golongan berpendapatan rendah B40 amat bertepatan dan memberikan faedah baik.

“Memohon SRAS amat mudah dengan mendapatkan borang permohonan di Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak, yang mana untuk Bintulu boleh mendapatkannya di HDC Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandaria Park,” katanya.

Beliau berkata, mereka akan melihat kelayakan pemohon sama ada terdapat tunggakan ke atas sewaan rumah terdahulu sebelum meluluskan skim ini dan sekiranya ada tunggakan, perlu dilangsaikan.

“Sekiranya diluluskan pula, mereka akan menilai sama ada pemohon dapat membuat pembayaran balik dengan baik selama setahun dan sekiranya tiada masalah, bantuan ini akan diteruskan untuk tempoh akan datang kepada pemohon tersebut.

“Keutamaan adalah untuk golongan B40 dan saya yang mendapat bantuan skim ini amat bersyukur kerana bantuan ini dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan sewa rumah digunakan untuk membeli barangan keperluan harian,” jelasnya.

Katanya, skim ini khusus untuk golongan yang telah berumah tangga dan menyediakan bantuan sewaan RM150 sebulan keseluruhannya RM1,800 setahun.

Navia Udin, 25, juga pekerja swasta berpendapat pemilikan rumah di Bintulu ibarat seperti seseorang itu terkena loteri melihat kepada harga rumah yang ditawarkan.

“Harga rumah di Bintulu antara yang paling mahal di Malaysia.

“Dengan keadaan Kadar Dasar Semalam (OPR) tinggi dan semakin naik, sukar untuk seseorang itu memohon mendapatkan pinjaman bank.

“Begitu juga dengan kadar harga rumah sewa tinggi dan yang paling rendah sewanya adalah dalam RM400 sebulan,” katanya yang kini tinggal bersama keluarganya di Bintulu.

Selain itu katanya, beliau ada memohon untuk mendapatkan rumah (transit) di PPR Bandaria Park dan kini masih menunggu jawapan daripada pihak berkenaan.

Sementara itu, pekerja swasta di sini turut menyenaraikan beberapa permasalahan dalam pemilikan rumah, antaranya dari segi pendapatan rendah.

Madeline Bangking Impin, 28, berkata, tahap pendapatan

rendah dengan gaji asas kurang sesuai untuk membuat pinjaman perumahan, syarat pinjaman sangat ketat daripada pihak bank dan wujud ‘kasta’ pekerjaan dalam pembelian rumah, antaranya mengikut sektor pekerjaan tertentu manakala pekerja swasta dilihat kurang berkelayakan.

“Wujudnya pembelian ataupun pemilikan rumah terlampau banyak bagi golongan berkemampuan seterusnya rumah telah dibeli disewa kepada golongan kurang berkemampuan dengan harga tinggi,” jelasnya.

Dayang Nursafaridah Awang Saberan, 34, pula berkata, bagi orang yang mampu tiada had untuk individu tersebut memiliki lebih daripada sebuah rumah dan harga pada masa kini juga terlampau tinggi, contohnya rumah teres yang mencecah harga RM300,000.

Kesukaran lain katanya, ada sesetengah individu layak untuk membeli rumah namun disebabkan pembayaran pendahuluan (deposit) tinggi, individu itu tidak mampu untuk memohon pembelian rumah tersebut.

AMBIL PELUANG

Berdasarkan kepada pelbagai kesukaran dan permasalahan itu, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) Sarawak menyeru rakyat Sarawak dalam kumpulan berpendapatan rendah mengambil peluang melalui inisiatif disediakan oleh kerajaan Sarawak untuk memiliki rumah.

Rakyat Sarawak boleh memohon Deposit Perumahan dan Skim Bantuan Bayaran Balik (HDRAS), Rumah Spektra MUTIARA (RSM) dan sewaan rumah melalui Skim Bantuan Sewa Rumah Sarawak (SRAS).

Seruan itu dibuat pada Majlis Penyerahan HDRAS, RSM dan SRAS di Hotel Margherita Plaza di Bintulu pada 3 November 2022.

Inisiatif itu disediakan melalui MPHLG Sarawak, HDC dan Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd (Mutiara) bagi golongan yang layak, terutamanya rakyat Sarawak kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40).

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang berkata, kerajaan Sarawak sentiasa berusaha untuk memastikan langkahlangkah dirancang dan dilaksanakan memberi manfaat kepada kumpulan sasaran dalam pengagihan kemakmurannya sejajar dengan tanggungjawab untuk merealisasikan ekonomi berpendapatan tinggi tahun 2030.

Katanya, pada Oktober 2021, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memperkenalkan Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) bagi menggalakkan kumpulan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri dengan menyediakan bantuan deposit yang diuruskan Mutiara.

“Skim ini menyediakan peruntukan RM10 juta yang memberi manfaat kepada sekitar 1,200 pemilik rumah,” ujarnya berucap pada majlis tersebut.

Beliau berkata, Premier baru-baru ini mengumumkan pertambahan peruntukan sehingga RM40 juta setahun yang dijangka memberi manfaat kepada 4,000 pemilik rumah.

“Melalui skim pertama diperkenalkan kerajaan Sarawak di negara ini, ia menyalurkan bantuan deposit 10 peratus atau maksimum RM10,000 untuk deposit pembelian rumah mampu milik bagi pembeli rumah pertama dengan keutamaannya untuk kumpulan berpendapatan rendah di negeri ini,” jelasnya.

Pada masa sama katanya, skim itu turut membantu pemaju dan hari ini lebih 20 pemaju terlibat dalam 34 projek yang masih dilaksanakan dan sejumlah 13 projek telah berjaya disiapkan.

Begitupun katanya, HDAS hanya untuk pemohon yang tidak layak mendapatkan pembiayaan penuh 100 peratus pinjaman perumahan.

Menurutnya, untuk meningkatkan peluang pemilik rumah pertama mendapatkan HDAS, fungsi HDAS telah dipertingkat dengan dinamakan sebagai HDRAS berkuat kuasa 12 Oktober 2022 yang menyediakan bantuan bayaran balik RM200 selama 48 bulan untuk pembeli dan pemilik rumah pertama yang layak mendapatkan pembiayaan penuh.

“Untuk melaksana dan meningkatkan inisiatif ini, Mutiara akan bekerjasama dengan bank-bank komersial untuk memastikan prosesnya berjalan lancar.

PEMBIAYAAN KERAJAAN

“Kita yakin dengan inisiatif ini, ia akan dapat meringankan bebanan bagi pembeli atau pemilik rumah pertama,” katanya.

Katanya, Mutiara turut memperkenal RSM untuk pemilik tanah membina rumah mereka sendiri dengan kos pembinaannya akan dibiayai Mutiara melalui Skim Pembiayaan Rumah Idaman Mutiara (MDHFS) dengan kos dianggarkan sekitar RM70,000 hingga RM160,000 yang mana peserta program juga layak memohon HDRAS dengan jumlah maksimum RM10,000.

Beliau berkata, kerajaan juga memperkenalkan SRAS RM200 sebulan untuk 36 bulan yang terbuka untuk penyewa di bandar Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri dan sehingga kini, HDC telah meluluskan lebih 1,300 pemohon SRAS dengan jumlah

RM214,000.

Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) pula katanya, ia adalah program pembiayaan penyenggaraan dan pembaikan rumah kos rendah awam bertingkat atau pembiayaan strata yang mana sejak 2012 HDC telah menerima lebih RM42 juta di bawah PPP daripada MPHLG selepas diperkenal pada 2011.

Sementara itu, pembiayaan berjumlah RM85 juta dengan membabitkan lebih 1,400 permohonan telah diluluskan oleh Mutiara dalam pembiayaan pembelian rumah di Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Shaharony Mat Nor berkata, 94 peratus adalah daripada golongan berpendapatan rendah (B40) yang bekerja dengan syarikat swasta, berpendapatan tidak tetap atau bekerja sendiri.

Katanya, setakat ini tiada rekod pembiayaan dan pembayaran bermasalah dengan Mutiara, sempurna dan tiada akaun diklasifikasikan sebagai tidak berbayar atau Non-Performing Loan (NPL).

“Ini membuktikan pelanggan Mutiara amat menghargai inisiatif ditawar kerajaan Sarawak, mencerminkan pelanggan Mutiara sangat bertanggungjawab dan bertimbang rasa terhadap pembiayaannya supaya memanfaatkan rakyat Sarawak lain secara berterusan,” katanya pada majlis tersebut.

Ujarnya, komitmen pelanggan sedia ada dalam bayaran balik bulanan akan diguna sebagai kitaran untuk pembiayaan perumahan kepada permohonan lain pada masa akan datang supaya mereka mendapat inisiatif sama.

Tambahnya, Mutiara Mortgage turut menjadi platform untuk penjawat awam dan kakitangan agensi kerajaan Sarawak mendapatkan pembiayaan peribadi yang kompetitif untuk kegunaan kewangan peribadi dengan kadar keuntungan tetap serendah 2.30 peratus setahun.

Selain itu katanya, RSM turut diperkenal kerajaan Sarawak bagi membantu pemilik tanah berdaftar untuk membina rumah di atas tanah milik sendiri yang dikenali dengan tanah Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

“Pemohon diberi pilihan untuk memilih rumah idaman mereka mengikut kemampuan dan Mutiara akan membantu dalam proses kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi kerajaan berkaitan.

“Ini adalah jaminan bahawa rumah berkualiti akan dibina untuk pemilik tanah dengan kos RM70,000 hingga RM160,000 dibiayai melalui pembayaran perumahan Mutiara,” jelasnya.

Beliau berkata, sehingga tahun 2021, kerajaan Sarawak melalui Jabatan Tanah dan Survei (JTS) telah mengeluar 26,000 TOL kepada rakyat Sarawak di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS) dengan hampir 15,000 pemilik TOL masih belum membina rumah.

Justeru katanya, melalui inisiatif RSM, penerima TOL di bawah skim ini berpeluang dan mampu membina rumah selesa atas tanah tersebut yang membantu meningkatkan nilai kekayaan dengan mempunyai aset berkualiti di samping penduduk luar bandar juga tidak dipinggirkan dalam proses transformasi ini.

Beliau turut menjemput kontraktor binaan mendaftar dengan PBT dan Mutiara untuk menjadi kontraktor pembinaan RSM di seluruh Sarawak.

Katanya, pihaknya turut diberi mandat oleh kerajaan negeri untuk mengurus dana HDRAS bagi golongan B40 dan M40 membeli rumah pertama idaman mereka serta layak dipohon oleh pemilik tanah yang ingin membina rumah di tanah sendiri di bawah RSM.

“Sehingga kini Mutiara telah menerima lebih 550 permohonan berjumlah RM5 juta dan telah melulus RM3 juta untuk lebih 350 permohonan dengan 71 peratus permohonan adalah daripada golongan B40,” katanya.

Penduduk yang ingin mendapat maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd di https://www. mutiara.com.my atau menghubungi talian 082-536995, 082-313035 atau e-mel kepada enquiry@ mutiara.com. my untuk pertanyaan.

Kepesatan pembangunan dengan kemasukan pelaburan pelbagai industri berat termasuk industri minyak dan gas di Bintulu tidak dapat tidak membawa kepada permintaan mendesak keperluan perumahan di Bahagian Bintulu.

PELAN BESAR

Berdasarkan sumber penggerak pembangunannya, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) menganggarkan permintaan rumah di kawasan Kemena, Kidurong dan Samalaju di Bintulu pada 2020 dan 2021 adalah sekitar 13,500 unit, namun pada tahun semasa hanya 5,338 unit rumah dapat dan sedang dibina.

Selain daripada rumahrumah yang dibina oleh pihak pemaju swasta, kerajaan Sarawak juga sedang berusaha menampung jurang keperluan perumahan yang agak meruncing terutama rumah mampu milik.

Pada tahun 2019 kerajaan negeri bersetuju menerima pakai Pelan Induk Jepak yang memberi fokus kepada perkembangan sosioekonomi penduduk Kampung Jepak sekali gus telah menyediakan rizab tanah untuk projek pembesaran kampung.

Selaras dengan Kajian Pelan Induk Pembangunan Daerah Perniagaan Berpusat (CBD) Bintulu yang dibuat pada tahun 2006, kerajaan merancang untuk memindahkan empat buah kampung iaitu Kampung Sinong, Kampung Masjid, Kampung Dato dan Kampung Sebiew ke Tapak Pembangunan Semula di Jepak.

Langkah ini adalah sejajar dengan pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak di kuala sungai Kemena yang sedang rancak dibina dan dijangka siap dijangka pada Oktober 2024 yang akan memanfaatkan seluruh warga Kampung Jepak khasnya dan penduduk Bintulu amnya serta luarnya.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah melancarkan Jepak Jaya untuk Bintulu di Lot 7940, Block 31, Kemena Land District, Jalan Jepak-Kuala Tatau pada 23 November 2021.

Perancangan pembangunan di Jepak itu adalah untuk memastikannya lebih tersusun dengan menyediakan rumah mampu milik, rumah tradisi, 7,000 lot untuk rumah mampu milik secara teres dengan menekan pembangunan bercampur termasuk pusat pentadbiran baharunya.

Melihat secara lebih mendalam setiap pembangunan di sesebuah bandar sememangnya ada kesan negatif dan menurut kajian sosioekonomi yang dijalankan BDA barubaru ini mendapati empat kampung iaitu Kampung Sinong, Kampung Masjid, Kampung Dato dan Kampung Sebiew telah menjadi terlalu padat di tengah-tengah bandar yang pesat membangun di Bintulu.

Keadaan tersebut memerlukan tindakan daripada kerajaaan untuk menyelesaikan masalah serta memberi kemudahan yang lebih baik kepada penduduk setempat.

Mengikut kajian tersebut, didapati pada masa ini 80 peratus daripada 500 lot di empat kampung yang dinyatakan bukan lagi dimiliki oleh penduduk asal bahkan majoriti penduduknya adalah penyewa dan setinggan.

Di samping rumah-rumah usang ini, jalan-jalan dan lorong yang sempit, perparitan yang tiada laluan air keluar, penduduk berhadapan dengan bahaya kebakaran dan wabak penyakit sukar dikawal sekiranya keadaan seumpamanya berlaku.

Projek pembangunan semula bandar di Jepak melibatkan projek perumahan di atas tapak seluas lebih kurang 146 ekar dengan jumlah rumah yang akan didirikan adalah sebanyak 596 unit dan kawasan itu diperuntukkan tanah bersaiz sebesar 10 hingga 12 point setiap lot.

Reka bentuk adalah mengikut permintaan rakyat supaya ia dibina dengan ciriciri seni bina Vaie tempatan yang mana konsep projek ini adalah sama dengan apa yang terdapat di Kemuyang, Sibu.

Kerajaan merancang untuk menggunakan model yang sebelum ini dilaksanakan di Projek Darul Hana, Kuching dan Perumahan Kemuyang di Sibu.

Pembangunan akan mengambil kira bukan sahaja perumahan tetapi juga akan memberi peluang pekerjaan, peniagaan serta persekitaran kondusif secara menyeluruh untuk kesejahteraan rakyat.

Kerajaan tidak hanya mengambil kira jumlah isi rumah dan keluarga besar yang menduduki sesebuah rumah tradisi sedia ada bahkan menggunakan konsep khairat yang mana penduduk diberi pilihan sama ada untuk mendapat pampasan atau mendapat rumah baharu lebih selesa dengan mempunyai reka bentuk tradisional iaitu ‘Umak Vaie’ mengikut penilaian hartanah masingmasing.

Skim Perumahan Mampu Milik Sri Pertiwi pada Majlis Pecah Tanah Skim Perumahan Mampu Milik Sri Pertiwi di tapak projek di Jalan Kidurong Bintulu turut dilancar Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari pada 25 Ogos 2020.

Sebanyak 366 unit Rumah Sri Pertiwi berkeluasan lantai 910 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Rumah kategori Spektra Medium berkeluasan lantai 755 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan satu bilik air juga dibina di kawasan itu.

Anggaran harga jualan untuk seunit rumah Sri Pertiwi ditetapkan tidak melebihi RM270,000 bagi lot tengah dan tidak melebihi RM295,000 bagi lot sudut atau hujung.

Rencana

ms-my

2023-08-25T07:00:00.0000000Z

2023-08-25T07:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281857238091855

Borneo Post