Utusan Borneo

Ibu pejabat polis di Mesir terbakar, 45 cedera

Tiada kematian dilaporkan, punca kebakaran di bangunan lapan tingkat itu masih disiasat

ISMAILIA: Kebakaran besar memusnahkan ibu pejabat polis wilayah di bandar Ismailia, Mesir sebelum subuh kelmarin, meranapkan bangunan itu dan menyebabkan sekurang-kurangnya 45 orang cedera.

Pihak berkuasa berkata mereka telah melancarkan siasatan ke atas punca kebakaran yang memusnahkan bangunan Direktorat Keselamatan di bandar yang terletak 110 kilometer timur laut Kaherah.

Beberapa orang dilihat terperangkap di dalam bangunan yang terbakar dan menjerit meminta bantuan dari tingkap, dalam rakaman video yang dikongsi di media sosial, dan pasukan kecemasan mengerahkan kren untuk menyelamatkan mereka.

Tiada kematian dilaporkan dalam kebakaran di bangunan lapan tingkat itu yang dipenuhi oleh kakitangan polis apabila ia dijilat api dalam kejadian semalaman.

Lima puluh ambulans bergegas ke tempat kejadian, disertai dua pesawat tentera dan pasukan kecemasan tentera, menurut kementerian kesihatan dan media tempatan.

Orang ramai yang menyaksikannya mengerumuni luar bangunan ketika api membara, menyebabkan asap hitam berkepul-kepul naik ke langit malam.

Dua belas orang dirawat di tempat kejadian dan 33 lagi dibawa ke hospital di Ismailia dan Suez berdekatan, menurut pejabat pendakwa raya.

Kebanyakan mangsa mengalami melecur atau terhidu asap dalam kebakaran itu, menurut laporan pertama yang diterima pada 4.30 pagi.

Menjelang subuh, bangunan itu telah berubah menjadi konkrit rentung tatkala pasukan kecemasan terus menyimbahnya dengan air untuk mengelakkan api marak lagi.

Pihak berkuasa tidak menyatakan berapa ramai polis atau tahanan berada di dalam bangunan itu, dan pasukan keselamatan kemudian mengepung kawasan itu, lapor wartawan AFP.

Menteri Dalam Negeri Mahmoud Tawfik mengarahkan siasatan terhadap punca kebakaran dan “penilaian keselamatan struktur” bangunan itu, kata kementeriannya.

Kebakaran maut merupakan ancaman lazim di negara Afrika Utara ini di mana kod kebakaran tidak dikuatkuasakan dan pasukan kecemasan selalunya lambat tiba.

Pada Ogos 2022, kebakaran yang disebabkan oleh litar pintas membunuh 41 orang di sebuah gereja Koptik Kaherah, dan orang ramai menggesa penambahbaikan infrastruktur dan masa respons.

Kebanyakan mengalami sesak nafas semasa cuba melarikan diri dari bangunan, dan yang lain melompat keluar dari tingkap untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran, selepas anggota bomba mengambil masa lebih sejam untuk tiba melalui lorong-lorong kecil jalan.

Kebakaran di Ismailia kelmarin berlaku di salah satu daripada berpuluh-puluh ibu pejabat polis baharu yang telah dibina atau diubah suai di seluruh negara sejak sedekad lalu.

Pada Mac 2021, sekurangkurangnya 20 orang terbunuh dalam kebakaran di sebuah kilang tekstil di ibu negara, selepas dua kebakaran hospital mengorbankan 14 nyawa pada tahun sebelumnya. — AFP

Dunia

ms-my

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281900187848046

Borneo Post