Wartawan buat liputan insiden kereta api bawah tanah di Tehran ditangkap: Media
TEHRAN: Seorang wartawan Iran ditahan di Tehran selepas membuat tinjauan di hospital untuk melaporkan keadaan seorang remaja perempuan yang pengsan di kereta api bawah tanah, kata berita harian Shargh kelmarin.
“Maryam Lotfi, wartawan akhbar Shargh, telah ditangkap,” kata penerbitannya di laman sesawang.
Dia telah pergi ke Hospital Fajr di ibu negara “untuk menyediakan laporan berita mengenai keadaan seorang gadis yang pengsan di kereta api bawah tanah” pada Ahad, kata Shargh.
Keadaan kejadian itu tidak jelas, dengan seorang pegawai kanan menafikan “khabar angin” tentang pertengkaran dengan pekerja kereta api bawah tanah.
Akhbar yang berpangkalan di Tehran itu tidak menyatakan agensi mana yang telah menahan Lotfi atau apakah tuduhan terhadap wartawan itu.
Pihak berkuasa Iran telah menyoal atau menahan lebih 90 wartawan sejak gelombang protes di seluruh negara tahun lalu, menurut laporan media tempatan pada Ogos.
Melaporkan mengenai insiden kereta api bawah tanah itu, agensi berita rasmi IRNA berkata kelmarin bahawa “seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun” pengsan akibat “tekanan darah rendah” ketika dia cuba menaiki kereta api.
Masood Dorosti, pengarah urusan sistem kereta api bawah tanah Tehran, menafikan terdapat “sebarang konflik lisan atau fizikal” antara pelajar itu dan “penumpang atau pegawai eksekutif metro”.
“Beberapa khabar angin tentang konfrontasi dengan ejen metro adalah tidak benar dan rakaman kamera litar tertutup menyangkal dakwaan ini,” kata Dorosti kepada IRNA.
Dia berkata remaja itu “sedang dirawat di hospital” dan “kami berharap dia akan kembali kepada keluarganya secepat mungkin.”
Berpuluh-puluh wartawan Iran dilaporkan telah disoal siasat atau ditangkap sejak tahun lalu, namun dua wartawan, kedua-duanya wanita, telah menghabiskan lebih setahun di dalam penjara.
Niloufar Hamedi dan Elaheh Mohammadi ditangkap selepas membuat liputan kematian Mahsa Amini dalam tahanan pada 16 September 2022, seorang wanita Kurdish Iran berusia 22 tahun yang ditangkap kerana didakwa melanggar peraturan pakaian wanita yang tegas. — AFP
Dunia
ms-my
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281913072749934
Borneo Post
