Utusan Borneo

Wanita Greenland dipaksa pakai IUD tuntut pampasan

COPENHAGEN: Sekumpulan 67 wanita dari Greenland kelmarin memfailkan tuntutan pampasan daripada kerajaan Denmark kerana mereka dipasang dengan alat pencegah kehamilan (IUD) tanpa kebenaran beberapa dekad lalu.

Kebanyakan wanita itu merupakan remaja ketika menerima IUD di bawah program yang dianjurkan secara rahsia oleh Denmark, bertujuan mengehadkan kadar kelahiran di wilayah Artik itu.

Walaupun ia bukan lagi menjadi tanah jajahan pada 1953, Greenland kekal di bawah kawalan Copenhagen.

Setiap plaintif menuntut sejumlah 300,000 kroner (AS$42,000).

Satu siri audio siar berdasarkan arkib negara dan diterbitkan pada musim bunga 2022 oleh penyiar Denmark, DR mendedahkan skala kempen itu, tatkala Denmark dan Greenland sedang mengkaji semula hubungan masa lalu mereka.

Pulau terbesar di dunia itu – terletak di Artik dan kira-kira 2,500 kilometer dari Denmark – mempunyai bendera, bahasa, budaya, institusi dan perdana menteri sendiri.

Sejak Akta Kerajaan Sendiri 2009, hanya mata wang, sistem keadilan dan hal ehwal luar negara dan keselamatan berada di bawah kuasa Denmark.

Dilancarkan tahun lepas, sebuah suruhanjaya yang meneliti rungutan terhadap kerajaan Denmark itu akan menerbitkan penemuannya pada 2025, namun pengadu mahukan pampasan sebelum itu.

“Kami tidak mahu menunggu hasil siasatan,” kata pakar psikologi Naja Lyberth, yang memulakan tuntutan pampasan.

“Kami semakin tua, yang paling tua daripada kami, yang telah dimasukkan IUD pada 1960-an, dilahirkan pada 1940-an dan menghampiri usia 80 tahun,” jelasnya.

Pada tahun 60-an dan 70an, kira-kira 4,500 remaja Inuit telah dimasukkan IUD tanpa persetujuan mereka atau keluarga mereka, menurut laporan DR.

Sebilangan besar wanita tidak menyedari bahawa mereka memakai alat kontraseptif sehingga baru-baru ini, pakar ginekologi Greenland mendapati terdapat

IUD pada wanita yang tidak menyedari kehadiran alat itu, menurut Lyberth.

“Sudah 100 peratus jelas bahawa kerajaan telah melanggar undang-undang dengan mencabuli hak asasi manusia dan menyebabkan kecederaan serius kepada kami,” tambahnya.

Menurutnya, kerajaan berkemungkinan akan menolak permintaan mereka sementara menunggu keputusan suruhanjaya itu – hal ini akan dibawa ke mahkamah.

Pada 2022, Denmark meminta maaf dan membayar pampasan kepada enam orang Inuit yang dipisahkan daripada keluarga mereka pada 1950-an untuk mengambil bahagian dalam percubaan untuk membina kumpulan elit berbahasa Denmark di wilayah Artik. — AFP

Dunia

ms-my

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281917367717230

Borneo Post