Utusan Borneo

Gempa kedua dalam beberapa hari gegar gunung berapi Itali

ROM: Gempa bumi berukuran 4.0 pada skala Richter menggegarkan kawasan gunung berapi Campi Flegrei di barat Naples, Itali kelmarin, kejadian terbaru dalam siri gegaran sejak beberapa hari lalu, kata pihak berkuasa.

Gempa bumi, yang berlaku sejurus selepas 10 malam waktu tempatan, tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan, kata agensi perlindungan awam di X, walaupun ia mencetuskan panik dalam kalangan penduduk yang melarikan diri ke jalan raya.

Pusat gempa yang mempunyai kedalaman sekitar tiga kilometer terletak antara Naples dan Pozzuoli, menurut Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan (INGV).

Kawasan sekitar gunung berapi Campi Flegrei (Phlegraean Fields), yang kali terakhir meletus pada 1538 dan akan membahayakan setengah juta penduduk sekiranya berlaku letusan, telah menyaksikan peningkatan aktiviti seismik sejak kebelakangan ini dengan beberapa siri gegaran.

Pada Rabu, gempa bumi berukuran 4.2 magnitud telah direkodkan, yang paling kuat di kawasan itu dalam tempoh 40 tahun.

Pengarah INGV, Mario Di Vito memberi amaran bahawa “kemungkinan akan ada gegaran yang lebih kuat” dalam masa terdekat. — AFP

LOS ANGELES: Empat orang terbunuh pada malam Ahad dalam kemalangan sebuah pesawat kecil di negeri Utah, Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa kelmarin.

Pesawat ringan itu terhempas di kawasan terpencil sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Wilayah Canyonlands di Moab, sebuah bandar di timur Utah, menurut Pejabat Sheriff Grand County, lapor Xinhua.

“Tragiknya, juruterbang pesawat itu Senator Negeri Dakota Utara Doug Larsen, isterinya dan dua anak mereka tidak terselamat dalam kemalangan itu,” kata Pejabat Sheriff dalam kenyataan di Facebook. — Bernama

Dunia

ms-my

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281921662684526

Borneo Post