Utusan Borneo

Lima rakan dibebas daripada tuduhan membunuh Nhaveen Penolong pengurus eksekutif hotel didakwa cabul kehormat

Nhaveen cedera parah, mati otak akibat dipukul sekumpulan remaja

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini semalam membebas dan melepaskan lima lelaki daripada pertuduhan membunuh dan mencederakan mangsa buli T. Nhaveen, enam tahun lepas.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membebaskan S. Gopinaath, 32, J. Ragesuthan, 24, dan S. Gokulan, 24, dan dua lagi yang ketika kejadian remaja di bawah umur selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Beliau berkata mahkamah mendapati terdapat percanggahan versi keterangan saksi mengenai beberapa tempat kejadian dan kegagalan pihak pendakwaan memanggil saksi penting iaitu rakan mangsa dikenali sebagai Preevin.

“Pihak pendakwaan juga tidak dapat membuktikan niat tertuduh untuk bersama-sama membunuh atau mencederakan mangsa manakala kredibiliti saksi yang dipanggil sangat diragui mahkamah.

“Mahkamah telah meneliti, membuat pertimbangan dan menilai kes ini... justeru semua kelima-lima tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Kelima-lima rakan itu yang berada dalam kandang tertuduh saling berpelukan kegembiraan selepas mendengar keputusan tersebut.

Nhaveen, berumur 18 tahun ketika kejadian, cedera parah akibat dipukul sekumpulan remaja dalam kejadian di Jalan Kaki Bukit, dekat sini, sehingga mati otak selain mengalami kecederaan di bahagian dubur.

Rakannya, Preevin dilaporkan turut dipukul oleh kumpulan yang sama menggunakan topi keledar namun sempat melarikan diri bagi mendapatkan bantuan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azhar Hamzah manakala Gopinaath,

Ragesuthan dan Gokulan diwakili peguam Datuk Naran Singh dan peguam Maanveer Singh Dhillon serta Yagoo Subramaniam mewakili dua remaja itu.

Pada 19 Jun 2017, lima rakan itu didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh Nhaveen berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Bukit Gelugor antara jam 11 malam hingga tengah malam pada 9 Jun 2017.

Merekadituduhmengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Selain itu mereka juga didakwa atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap Nhaveen mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Kelima-lima mereka turut didakwa menyerang Previin di lokasi, tarikh dan masa sama. — Bernama

PETALING JAYA: Seorang penolong pengurus eksekutif hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mencabul kehormatan rakan sekerja wanitanya yang juga bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen swasta, Julai lepas.

Mohd Faizal Hussain, 53, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 54 tahun itu dengan memegang tangannya bertujuan untuk mencabul kehormatannya di sebuah hotel di Damansara, dekat sini, pada 1 tengah hari 13 Julai lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam Nur Afiqah Mohd Ashriee yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung ibu bapa, isteri dan tiga anak yang masih bersekolah.

“Tertuduh menghidapi penyakit gout manakala ayahnya terlantar sejak lima tahun yang lepas. Dia juga telah digantung kerja sejak laporan dibuat oleh pengadu (mangsa),” katanya.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 20 Nov ini untuk sebutan semula kes. — Bernama

“Pihak pendakwaan juga tidak dapat membuktikan niat tertuduh untuk bersama-sama membunuh atau mencederakan mangsa manakala kredibiliti saksi yang dipanggil sangat ” diragui mahkamah.

Mohd Radzi Abdul Hamid Hakim

Nasional

ms-my

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/281968907324782

Borneo Post