Antony sedia beraksi bersama Man Utd untuk aksi Liga Juara-Juara
MANCHESTER: Antony bersedia untuk kembali ke skuad Manchester United untuk aksi Liga Juara-Juara menentang Galatasaray, menurut pengesahan pengurus kelab Old Trafford, Erik ten Hag pada Isnin.
Penyerang antarabangsa Brazil itu belum beraksi selama sebulan sejak dia dituduh melakukan serangan keganasan ke atas tiga wanita.
Antony, yang menafikan semua dakwaan, sudah bercakap dengan polis di Sao Paulo, Brazil dan di Manchester selepas kembali ke Britannia Raya (UK) dari Amerika Selatan enam hari yang lalu.
United memberikan cuti dengan gaji penuh kepada pemain berusia 23 tahun itu tetapi pada Jumaat lalu mengumumkan bahawa dia akan kembali bersama skuad utama.
Ten Hag berkata dia akan menilai keadaan mental pemain sebelum membuat keputusan jika dia boleh terlibat dan mengesahkan menjelang aksi Kumpulan A menentang Galatasaray bahawa Antony akan dapat dipilih untuk skuad perlawanan selepas bercakap dengan pemain.
“Antony akan dipertimbangkan (untuk diturunkan bermain),” kata Ten Hag. “Semalam adalah hari pertama dia kembali menjalani latihan dan kemudian kami akan membuat keputusan. Jadi dia dalam pertimbangan.”
Apabila Ten Hag diasak tentang maksud kepulangan Antony ke skuad kepada mangsa keganasan domestik, pengurus dari Belanda itu mengingatkan fakta bahawa pemain belum ditangkap atau didakwa dengan sebarang pertuduhan. “Dia memberikan kerjasama sepenuhnya, dia kembali tanpa didakwa, jadi…” kata Ten Hag.
Antony menonton perlawanan pada Sabtu ketika United tewas kepada Crystal Palace untuk permulaan terburuk United dalam tempoh 34 tahun.
United terdesak untuk satu kemenangan dan mengembalikan saingan Liga JuaraJuara di landasan selepas tewas perlawanan pertama kepada Bayern Munich dua minggu yang lalu.
“Sudah tentu kami kecewa dengan kekalahan kepada Palace,” tambah Ten Hag. “Anda harus menganalisa perlawanan, ada masalah dan anda harus melangkah ke hadapan dan mencari penyelesaian.” — AFP
Sukan
ms-my
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
https://epaper.utusanborneo.com.my/article/282003267063150
Borneo Post
