Utusan Borneo

Ratcliffe sedang menimbang untuk ubah bidaan dan beli saham minoriti Man Utd

LONDON: Hartawan British, Jim Ratcliffe, sedang menimbangkan untuk mengubah bidaannya dan menawarkan untuk membeli saham minoriti dalam kelab Manchester United, menurut laporan media pada Isnin.

Ratcliffe, pengasas syarikat kimia gergasi INEOS, muncul sebagai salah satu dari dua calon utama untuk membeli kelab juara 20 kali liga Inggeris itu, bersama-sama hartawan dari Qatar, Sheikh Jassim Bin Hamad Al Thani.

Satu proses bidaan yang lama menyusul, dengan beberapa bidaan baharu dibuat oleh Ratcliffe dan Sheikh Jassim tetapi tiada perkembangan mengenai potensi pertukaran hak milik dari keluarga Glazer, yang mengumumkan pada bulan November tahun lepas di mana mereka terbuka untuk menjual kelab.

Penilaian United dalam Bursa Saham New York merudum bulan lepas ekoran laporan di mana keluarga Glazer mungkin tidak akan menjual kelab.

Ia sekarang dilaporkan bahawa Ratcliffe mungkin menyasarkan saham minoriti dalam kelab gergasi bola sepak Inggeris itu.

Penyiaran Sky News berkat Ratcliffe mungkin akan cuba membeli saham sekitar 25 peratus sebagai sebahagian dari satu cadangan untuk cuba menamatkan proses pembelian, selepas pada awalnya mahu melengkapkan pembelian saham majoriti.

Jika keluarga Glazer menerima tawaran baharu ini, mereka akan mengekalkan saham majoriti kelab yang dibeli dengan hutang bank pada 2005.

Keluarga Glazer sangat tidak popular di kalangan penyokong kelab, yang menuduh keluarga itu menyebabkan kelab dibebani hutang dan tidak membuat pelaburan secukupnya.

Ribuan penyokong menyertai bantahan di Old Trafford selepas kemenangan 3-2 ke atas Nottingham Forest pada bulan Ogos.

United memulakan musim baharu Liga Perdana Inggeris 2023/2024 dengan buruk apabila tewas empat dari tujuh perlawanan pertama dan berada di tangga ke-10 liga ketika ini, sembilan mata di belakang pendahulu liga yang juga kelab jiran, Manchester City. — AFP

Sukan

ms-my

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/282016151965038

Borneo Post