Utusan Borneo

Langkah Perancis melarang atlet berhijab bercanggah dengan semangat Olimpik

RIYADH: Sekumpulan persekutuan sukan dari negara-negara majoriti penduduk Islam pada Isnin berkata bahawa langkah Perancis melarang atlet Sukan Olimpik negara itu memakai hijab akan “menghantar satu pesanan disisihkan”.

Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF) dengan 57 anggota yang berpusat di ibu kota Arab Saudi ini, menyuarakan “kebimbangan serius” dengan keputusan Perancis, yang dibuat selari dengan peraturan ketat sekularisme negara itu.

Menteri Sukan Perancis, Amelie Oudea-Castera berkata bulan lepas bahawa kerajaan Perancis membantah sebarang perbuatan menunjukkan simbol keagamaan semasa acara sukan.

“Apa maksud semua itu? Ia bermakna larangan dalam semua bentuk simbol agama. Ia bermakna sikap berkecuali sepenuhnya dalam sektor awam,” katanya.

“Pasukan Perancis tidak akan memakai skaf kepala.”

ISSF berkata dalam kenyataannya pada Isnin bahawa hijab adalah “satu aspek identiti ramai wanita Islam dan seharusnya dihormati,” sambil menambah larangan oleh Perancis boleh menyebabkan beberapa atlet Islam Perancis tidak akan bertanding.

“Olimpik mempunyai sejarah meraikan kepelbagaian, kesatuan dan kecemerlangan atlet,” kata kenyataan.

“Dengan melaksanakan larangan hijab untuk atlet mereka, pasukan tuan rumah akan menghantar satu pesanan pengecualian, tidak bertolak-ansur dan diskriminasi yang bercanggah dengan semangat Olimpik.”

Kenyataan menggesa pihak berkuasa Perancis “untuk menimbang semula larangan” dan meminta untuk “satu penglibatan bermakna dengan komuniti sukan Islam di Perancis.”

ISSF diasaskan pada 1985 untuk memberi khidmat kepada anggota Organisasi Kerjasama Islam yang berpusat di Jeddah, juga di Arab Saudi, “dalam semua aspek aktiviti sukan”.

Ia sudah menganjurkan lima edisi Sukan Perpaduan Islam, yang terbaharu dianjurkan di Turki tahun lepas.

Pejabat hak asasi manusia di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) masih belum bercakap tentang larangan hijab Perancis ke atas atletnya secara langsung tetapi seorang jurucakap wanita berkata minggu lepas bahawa “tiada siapa harus menghalang seorang wanita apa yang dia perlu atau tidak perlu pakai.” — AFP

Sukan

ms-my

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

2023-10-04T07:00:00.0000000Z

https://epaper.utusanborneo.com.my/article/282029036866926

Borneo Post