Kem E-Sukan menghadiahkan pingat ke-21 kontinjen negara
HANGZHOU: Hanya enam pingat lagi diperlukan Malaysia untuk mencapai sasaran di Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas kem e-sukan menghadiahkan pingat ke21 kontinjen negara apabila meraih gangsa dalam permainan Dota2 di Pusat E-Sukan Hangzhou, di sini kelmarin.
Malaysia dibarisi Chan Kok Hong, Cheng Jin Xiang, Thiay Jun Wen, Ng Wei Poong dan Yap Jian Wei tidak berdepan masalah meraih kemenangan 2-0 ke atas
Kyrgyzstan yang diwakili Amanbek Iunusali Uulu, Abdyrakhman Raiapov, Kyialbek Taiirov, Bektur Kulov dan Bakyt Emilzhanov pada penentuan gangsa.
Ia sekali gus menyaksikan kem e-sukan menyumbang pingat kedua selepas pasukan Arena of Valor merangkul perak, Selasa lepas.
Malaysia kempunan meraih pingat ke-22 apabila penerjun elit Nur Dhabitah Sabri tidak berjaya meraih pingat peribadi ketiganya selepas dipintas di saat akhir untuk berpuas hati menduduki tempat keempat dalam acara 1 meter (m) papan anjal wanita di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou.
Dalam saingan olahraga, jaguh lempar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin dan atlet lompat bergalah wanita Nor Sarah Adi gagal menampilkan persembahan terbaik selepas masing-masing menamatkan saingan di kedudukan keenam dan terakhir di Stadium Olimpik Hangzhou.
Namun, kuartet 4x100m lelaki negara yang dibarisi Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Arsyad Md Saat, Jonathan Nyepa dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi menghadirkan senyuman apabila mara ke pusingan akhir dengan masa 39.40 saat (s) yang merupakan catatan keempat terpantas.
China terpantas dengan catatan 38.62s diikuti Korea Selatan (38.75s) dan Jepun ketiga selepas merakam 38.99s pada pusingan pertama.
Sementara itu, kem memanah negara menghidupkan peluang menyambar pingat selepas pasangan Mohd Juwaidi Mazuki-Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan trio Mohd Juwaidi, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghaz dan Mohamad Syafiq Md Ariffin masingmasing mara ke peringkat suku akhir compound berpasukan campuran dan berpasukan lelaki.
Mohd Juwaidi turut mara ke suku akhir dalam cara compound individu lelaki.
Dalam pada itu, skuad hoki lelaki yang meraih perak pada edisi lepas, memilih jalan sukar dalam meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir selepas terikat 4-4 menentang China dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Taman Sukan Terusan Gongshu.
Dengan enam lagi pingat diperlukan, Malaysia berpeluang menambah koleksi dalam beberapa sukan lagi antaranya terjun 10m platform wanita menerusi Datuk Pandelela Rinong, badminton dan skuasy yang sedang berlangsung, sepak takraw dan karate bermula Khamis ini.
Malaysia kini menduduki tempat ke-15 pada carta kedudukan pingat dengan tiga emas, empat perak dan 14 gangsa, manakala China diambang juara dengan mengumpul 147-81-42 diikuti Jepun di tempat kedua (33-44-45) dan Korea Selatan ketiga (31-39-63). — Bernama
Sukan
ms-my
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
2023-10-04T07:00:00.0000000Z
https://epaper.utusanborneo.com.my/article/282071986539886
Borneo Post
